Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan pada 5 September 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kolam takungan Sungai Gong akan jadi lokasi rawat air tercemar

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kolam takungan banjir di Sungai Gong, Rawang akan dijadikan lokasi pembendungan pencemaran air, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata air tercemar akan ditahan dan dirawat di lokasi itu sebelum dialirkan semula ke laluan Sungai Sembah.

“Cadangan ini akan diluluskan segera kerana kita tidak mahu timbul lagi isu pencemaran hingga beri masalah besar.

“Kolam berkenaan seluas 15 ekar dan kita bercadang untuk tambah 10 ekar lagi bagi tujuan itu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, kaedah merawat air tercemar sedang dikaji sepenuhnya supaya kebersihan sumber bekalan terjamin sebelum disalur kepada pengguna.

Minggu lalu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak berhubung kejadian air Sungai Gong berwarna hitam.

Agensi memaklumkan insiden berkenaan dikesan jam 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS.


Pengarang :