AGENDAGLOBAL

Konflik, Covid-19 risikokan kesihatan wanita dan kanak-kanak – PBB

ANKARA 25 SEPT: Konflik wilayah dan Covid-19 menimbulkan ancaman ke atas kesihatan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak yang mungkin mengakibatkan perkembangannya sejak sedekad lalu terhenti, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Sejak pelancaran gerakan Every Woman Every Child pada 2010 oleh bekas Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun mencapai tahap terendah sepanjang tahun pada 2019, dengan lebih daripada satu bilion vaksin dan 25 juta perkahwinan kanak-kanak dapat dicegah dalam 10 tahun terakhir.

Agensi Anadolu (AA) melaporkan gerakan itu juga membolehkan imunisasi yang meluas, kewujudan pembantu kelahiran terlatih dan akses air minuman yang selamat, manakala kematian ibu bersalin menurun 35 peratus sejak 2000.

Bagaimanapun, semua pencapaian itu mungkin terhenti dan kesihatan kanak-kanak dan remaja terdedah kepada risiko disebabkan konflik dan krisis kesihatan paling teruk di atas muka bumi yang dihadapi generasi sekarang.

“Krisis Covid-19, khususnya, memburukkan lagi ketidaksamaan yang sedia ada, dengan dilaporkan wujudnya campur tangan dalam ketidakseimbangan keperluan kesihatan yang memberi kesan ke atas wanita dan kanak-kanak yang paling berisiko,” kata AA mengutip laporan itu.

Ketika kemuncak sekatan pergerakan akibat virus global, penutupan sekolah di 192 negara mempengaruhi 1.6 bilion pelajar, manakala keganasan rumah tangga dan penganiayaan terhadap gadis dan wanita meningkat, ditambah peningkatan kemiskinan dan kelaparan, kata laporan itu.

“Bahkan sebelum pandemik Covid-19, seorang kanak-kanak di bawah lima tahun meninggal setiap enam saat di kawasan tertentu di seluruh dunia,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore dalam laporan itu.

“Jutaan kanak-kanak yang tinggal di zon konflik dan genting berhadapan kesulitan yang lebih besar dengan bermulanya pandemik.”

Pada 2019, 82 peratus kematian kanak-kanak di bawah lima tahun dan 86 peratus kematian ibu bersalin tertumpu di pinggir Sahara Afrika dan Asia Selatan, menurut kajian itu.

Kadar kematian ibu bersalin, bayi yang dilahirkan, kanak-kanak dan remaja jauh lebih tinggi di negara-negara yang terjejas teruk disebabkan konflik.

Muhammad Ali Pate, ketua global untuk kesihatan, pemakanan dan kependudukan di Kumpulan Bank Dunia, mengingatkan selain konflik, pandemik itu juga, “sebagai ancaman yang akan mengundurkan kembali pencapaian bertahun-tahun yang telah diusahakan dalam perkembangan kesihatan reproduktif, kehamilan, kanak-kanak dan remaja.”

Laporan itu menyeru masyarakat dunia untuk memerangi Covid-19 dan meminta komitmen daripada pemimpin dan organisasi untuk meningkatkan kehidupan wanita dan kanak-kanak, lapor AA.

Ia menekankan kekurangan usaha yang lebih kuat boleh menyebabkan 48 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati antara tahun 2020 dan 2030, dengan hampir separuh daripadanya adalah bayi yang baru dilahirkan.

Tahun lalu, 5.2 juta kanak-kanak di bawah lima tahun dan satu juta remaja meninggal dunia kerana sebab-sebab yang sebenarnya boleh dicegah.

Di samping itu, bayi yang baru lahir mati setiap 13 saat, manakala pada setiap jam, 33 wanita tidak dapat diselamatkan ketika melahirkan anak dan setiap hari, 33,000 kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin, biasanya dengan lelaki yang lebih tua, menurut PBB.

– BERNAMA


Pengarang :