Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa tanda harga barangan yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya pada 3 Jun 2020. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

KPDNHEP rekod 78 kes pelbagai kesalahan jualan murah

KUALA TERENGGANU, 26 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan sebanyak 78 kes pelbagai kesalahan berkaitan jualan murah sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata daripada jumlah itu, 20 kes dikesan berlaku sejak kementerian melaksanakan Program Jualan Murah (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 (KBBM) bermula Julai lepas.

“Ia membabitkan nilai rampasan RM44,604 dan nilai kompaun RM23,150 dan antara kesalahan yang dikesan ialah harga jualan mengelirukan pengguna, tidak mempamerkan notis jualan murah dan mengadakan jualan murah tanpa notis pemakluman.

“Selain itu, kementerian juga menerima 389 aduan mengenai jualan murah sepanjang tahun ini…kita harap pengguna sentiasa berhati-hati dan sentiasa bandingkan harga sebelum membuat pembayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia di sini hari ini.

Seramai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall menyertai PJM dan KBBM selama empat hari yang bermula Khamis lepas.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata rakyat Malaysia perlu mengutamakan produk tempatan kerana perbelanjaan pengguna dapat memperkukuhkan sektor peruncitan domestik agar berdaya saing dan akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Bagi memastikan hasrat ini tercapai, kementerian telah mengambil inisiatif dengan memudahkan proses kelulusan permohonan jualan murah sepanjang tahun. Peniaga hanya perlu mendaftar dalam Sistem Notis Jualan Murah. Notis pemakluman jualan murah boleh diisi dan dalam tempoh 24 jam jualan murah boleh diadakan.

“Notis ini tidak memerlukan kelulusan daripada KPDNHEP tetapi sebaliknya hanya memaklumkan tentang jualan murah yang ingin diadakan. Namun pada masa yang sama, KPDNHEP mengingatkan agar jualan murah tersebut adalah benar dan sekiranya pemeriksaan dibuat mendapati sebaliknya dan melanggar Peraturan Jualan Murah, maka tindakan masih boleh diambil,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :