KPDNHEP Selangor merampas produk roti dan kek dianggarkan bernilai RM10,000 dari sebuah kilang kerana disyaki menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jakim pada 17 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDNHEP Selangor rampas roti, kek guna logo halal tidak sah

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas produk roti dan kek dianggarkan bernilai RM10,000 dari sebuah kilang kerana disyaki menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan berkata serbuan ke atas premis terletak di Ampang dilakukan pada 3 petang tadi oleh lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan 10 pegawai Jabatan Agama Islam Selangor hasil aduan orang ramai.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 10,000 unit produk merangkumi 50 jenis roti dan kek telah siap dibungkus dengan turut diletakkan logo halal selain yang diiktiraf Jakim.

“Kilang ini sudah beroperasi sejak 20 tahun lepas dan hasil keterangan daripada pemilik kilang, mereka pernah memohon sijil halal pada 2012 tetapi gagal memperolehnya kerana tidak mematuhi syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) terutamanya berhubung kebersihan premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut, hari ini.

Muhamad Zikril berkata pihaknya juga mendapati tiada penambahbaikan dilakukan oleh pemilik premis sejak permohonan itu dilakukan bagi membolehkan kebenaran menggunakan logo halal yang sah diberikan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 4 Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) 2011.

Katanya, peraturan itu memperuntukkan hukuman denda RM200,000 hingga RM10 juta bagi syarikat dan denda RM100,000 hingga RM5 juta atau penjara tiga hingga lima tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan.

Selain kesalahan menggunakan logo halal tidak diiktiraf, beliau berkata premis berkenaan juga didapati menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan dan tindakan sitaan ke atas 17 alat penimbang bernilai RM2,500 turut diambil mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

Muhamad Zikril berkata tahap kebersihan kilang berkenaan yang kurang memuaskan turut akan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan kerana ia di luar bidang kuasa KPDNHEP.

“Didapati roti tidak ditutup selepas siap dibakar, selain terdapat kesan air dari bumbung yang bocor,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :