Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

KSN: Capai KPI gerakkan ekonomi, ikut perancangan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan diingatkan untuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19 tercapai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata mesyuarat pertama mengenai perkara itu telah diadakan baru-baru ini.

“Saya beri ingatan sekali lagi kepada semua ketua setiausaha (kementerian) dan ketua pengarah (jabatan) akan keperluan mereka untuk memastikan KPI yang ditetapkan itu tercapai. Ini (pencapaian KPI yang ditetapkan) adalah antara faktor untuk menggerakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil keahlian kepada 75 ahli Koperasi KOBUNITI Selangor Berhad dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pada 6 September lepas, Mohd Zuki menetapkan KPI kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan supaya program menggerakkan ekonomi dilaksanakan mengikut perancangan susulan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam digantikan dengan sistem baharu, Mohd Zuki berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Itu mungkin cadangan mereka dan (setakat ini) Ceupacs belum minta lagi kepada kita. Saya rasa belum sampai lagi di peringkat pertimbangan kerajaan,” katanya.

Khamis lepas, Ceupacs dilaporkan akan mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan bagi mencadangkan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam.

-BERNAMA


Pengarang :