AGENDANASIONAL

Kurang bekalan, pasaran getah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat minggu depan dirangsang oleh kekurangan bekalan getah berikutan musim hujan di negara-negara pengeluaran seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata harga komoditi itu juga akan disokong oleh permintaan tinggi terutamanya dari China kerana ekonomi kedua terbesar dunia itu telah pun membuka banyak industri dengan logistik yang lebih besar.

“Keperluan untuk getah juga dijangka melonjak,” kata beliau kepada Bernama.

Low berkata beberapa negara turut mempertimbangkan untuk membuka sempadan mereka dan ini pastinya akan turut membantu penggunaan getah.

Sementara itu, dengan kes Covid-19 terus meruncing di seluruh dunia, Low menjangkakan pengeluar sarung tangan perubatan akan membeli lebih banyak lateks pukal dalam bulan-bulan mendatang ekoran permintaan yang berterusan untuk sarung tangan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, SMR 20 ditutup tinggi sebanyak 19 sen kepada 576.0 sekg sementara lateks pukal menokok 8.5 sen kepada 497.5 sekg.

Pada pukul 5 petang Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 mengukuh 13.5 sen kepada 572.5 sen sekg manakala lateks pukal meningkat 7.5 sen kepada 496.5 sen sekg.

– BERNAMA


Pengarang :