Seorang wanita memakai pelitup muka ketika tinjauan orang ramai yang menggunakan pelitup muka sebelum 1 Ogos di Jalan Bukit Bintang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lagi kluster baharu dikesan di Kedah

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah hari ini, iaitu kluster Tembok di Alor Setar dengan tiga kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes indeks kluster itu (kes ke-11,207) juga merupakan kes kematian ke-135, adalah seorang lelaki tempatan yang dikesan positif pada 28 Sept lepas.

Susulan itu, beliau berkata saringan kontak rapat dijalankan dan terdapat dua lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Dua kes positif ini melibatkan warganegara dan mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan.

“Sehingga kini, seramai 169 individu disaring dengan tiga kes positif, manakala 166 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster lain merekodkan pertambahan kes iaitu kluster Benteng LD dan kluster Bangau-bangau di Sabah; kluster Bakawali di Johor, serta kluster Sungai di Kedah.

Beliau berkata pertambahan empat kes baharu bagi kluster Benteng LD menjadikan jumlah kes kini 879, kluster Bangau-bangau naik sembilan kes kepada 287 kes, manakala kluster Bakawali naik tujuh kes kepada 11 kes dan kluster Sungai naik satu kes kepada 100 kes.

Dalam pada itu, terdapat satu lagi kluster diisytihar tamat hari ini, iaitu kluster MV Glen di Klang, Selangor dengan tiga kes positif.

Kluster melibatkan sebuah kapal itu merangkumi dua kes warga tempatan dan satu warga asing, namun tiada kematian direkodkan.

Sehingga kini terdapat 24 kluster masih aktif seluruh negara, manakala sebanyak 100 kluster diisytiharkan tamat.

Sementara itu, susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata pasukan bantuan kesihatan digerakkan secara berperingkat ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak, bagi membantu proses pengesanan kontak, saringan komuniti di lapangan, serta menjaga pusat kuarantin dan hospital.

“Seramai 10 Pegawai Sains Mikrobiologi dan lima Juruteknologi Makmal (JTM), dihantar ke Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, bagi membantu proses saringan Covid-19 di makmal.

“Seramai 72 Jururawat Terlatih (JT) juga ditugaskan di Hospital Kunak, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Tenom, Hospital Beluran, Hospital Keningau, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Hospital Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata mulai Oktober, sejumlah 140 Pegawai Perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan (PPP), akan ditempatkan di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah termasuk klinik, hospital dan Pejabat Kesihatan Kawasan seluruh negeri itu, mengikut kekosongan dan keperluan perkhidmatan semasa.

Jelasnya, pada masa yang sama, kebajikan petugas kesihatan dan perubatan perlu diutamakan bagi memastikan aset utama KKM itu, dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik termasuk aspek logistik, latihan dan keperluan Personal Protective Equipment (PPE).

-BERNAMA


Pengarang :