Selangorkini
Kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah. Foto SELANGORKINI
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Lebih 29,000 rumah tidak terjual, faktor harga pasaran

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Sebanyak 29,698 unit rumah yang siap dibina daripada 127,604 unit rumah dilancarkan dengan nilai lebih RM18 juta, dilaporkan tidak terjual pada suku pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata, rekod Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan, jumlah itu berkurangan berbanding 30,664 unit rumah siap dibina dan tidak dijual, pada suku keempat tahun lepas.

“Antara punca unit rumah tidak terjual ini ialah ketidakmampuan membeli rumah mengikut harga pasaran, dan ketiadaan sistem bersepadu bagi memastikan kesepadanan di antara penawaran dan permintaan mengikut lokasi,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah, yang ingin tahu jaminan kementerian dalam memastikan rumah yang dibina akan terjual.

Jelas Ismail, antara usaha kementerian untuk memastikan rumah yang akan bina dapat dijual mengikut keperluan setempat adalah, menetapkan harga rumah projek perumahan yang dibangunkan kerajaan mengikut Dasar Rumah Mampu Milik Negara, iaitu harga maksimum sehingga RM300,000.

Selain itu, KPKT turut meminta pemaju membuat kajian kebolehlaksanaan, agar masalah lebihan bekalan perumahan dapat diatasi bagi tempoh jangka panjang.

Pada masa sama, beliau berkata KPKT sedang melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan, yang bertujuan mendapatkan gambaran sebenar mengenai pengurusan perumahan di Malaysia.

“Kajian ini akan dijadikan sebagai input bagi pembangunan platform pusat pengumpulan data hartanah, yang meliputi permintaan dan penawaran untuk membantu membuat keputusan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, serta membantu penyediaan dasar dan perancangan perumahan negara yang lebih komprehensif,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut membangunkan ‘Housing Integrated Management System (HIMS)’ yang bertindak sebagai pusat sehenti, bagi urusan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dan mengemas kini maklumat pemajuan projek perumahan swasta.

Sistem ini, katanya dijangka akan siap pada April 2021.

-BERNAMA


Pengarang :