Pembersihan sampah giat dijalankan di dalam Terowong SMART pada 11 September 2020 berikutan sampah sarap yang turut dialirkan bersama air dari punca Sungai Kelang. Foto: Facebook Smart Tunnel
AGENDANASIONAL

Lebuhraya Smart dibuka semula petang tadi

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Lebuhraya SMART dibuka semula sepenuhnya kepada lalu lintas bermula 6.37 petang tadi selepas ditutup sejak jam 4 petang Khamis lepas.

Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam kenyataan hari ini berkata proses pengepaman keluar air dan pencucian terowong yang dijalankan sejak semalam selesai sepenuhnya.

“Proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal serta elektrikal telah dijalankan bagi memastikan peralatan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum Terowong SMART dibuka semula kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya itu boleh mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan dengan menghubungi talian SMART 1-300-88-7188 atau layari laman web rasmi di www.smarttunnel.com.my atau laman sosial di twitter @smarttunnel dan “Smart Tunnel” di Facebook.

Lebuhraya SMART ditutup kepada lalu lintas pada petang Khamis lepas bagi membolehkan pengaktifan sistem banjir dan disusuli dengan pelepasan air banjir ke sistem takungan Terowong SMART berikutan hujan lebat di ibu kota.

-BERNAMA


Pengarang :