Pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menampal notis merobohkan bengkel yang disyaki punca pencemaran Sungai Gong pada 7 September 2020. Foto ihsan MPS
AGENDANASIONAL

Lima suspek cemar Sungai Gong didakwa esok

SHAH ALAM, 14 SEPT: Lima individu yang dikaitkan dengan insiden pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang awal bulan lalu didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara, lapor Astro Awani.

“Pertuduhan pertama ke atas lima individu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang akan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan sementara pertuduhan kedua mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Pendakwaan membabitkan empat ahli lembaga pengarah syarikat dan seorang pengurus kilang.

Sementara itu, beliau berkata empat lagi tangkapan dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi.

Pada 3 September lalu, empat loji rawatan air dihenti tugas susulan pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Kuala Lumpur dan Selangor.


Pengarang :