Saipolyazan M Yusop (dua, kanan, belakang) dan Datuk Paduka Prof Emeritus Dr Muhamad Awang (dua, kiri, belakang) bersama para pelajar yang menerima sijil ‘Malaysia Technology Ezpo’ pada Pelancaran Modul Kecemerlangan Pelajar Bait Al-Hasanah di asrama anak-anak asnaf Bait Al-Hasanah Kapar Klang pada 19 September 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS lancar modul kecemerlangan, beri didikan terbaik kepada asnaf

KLANG, 20 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan Modul Kecemerlangan Pelajar Bait Al-Hasanah dalam usaha memberikan pendidikan terbaik kepada 157 penghuni asrama Bait Al-Hasanah yang terdiri daripada anak golongan fakir dan miskin di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata modul yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bertujuan melahirkan generasi yang seimbang dari aspek emosi, rohani, intelek dan kepimpinan.

“Terdapat tiga komponen yang digunakan untuk mengukur kecemerlangan penghuni di sini iaitu pertama, kecemerlangan sahsiah yang berupaya melahirkan pelajar supaya mempunyai amalan disiplin baik di samping aktif dalam aktiviti kerohanian dan pembinaan karakter.

“Kedua, adalah kecemerlangan akademik, iaitu memastikan pelajar menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) lulus peperiksaan umum dan pembangunan kerjaya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran modul tersebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Bait Al Hasanah Datuk Profesor Emeritus Dr Muhamad Awang di sini semalam.

Menurutnya berkata komponen terakhir adalah kecemerlangan kepimpinan bagi melahirkan pelajar yang berkemampuan untuk memimpin.

Sementara itu Saipolyazan berkata bagi anak-anak asnaf yang cemerlang di Selangor tetapi tidak berpeluang untuk menjadi penghuni Bait Al-Hasanah, LZS akan berusaha menghantar mereka ke sekolah berasrama penuh yang lain, dengan kos pendidikan mereka ditanggung LZS.

“Mereka ini, kita akan hantar mereka yang layak dan cemerlang ke sekolah berasrama penuh, dengan segala kos ditanggung oleh pihak kami, sebab Bait Al-Hasanah ini cuma ada satu sahaja,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :