Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (tengah) bersama penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Bina Rumah kepada Asnaf Fakir dan Miskin LZS di Tanjong Karang, hari ini. Foto BERNAMA
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS salur RM882,815 bina 10 rumah asnaf di Kuala Selangor

TANJONG KARANG, 21 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sejumlah RM882,815 daripada zakat yang diterima bagi membina 10 buah rumah untuk golongan asnaf fakir dan miskin terpilih di daerah Kuala Selangor pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop berkata setiap rumah terbabit yang dibina dengan kos antara RM80,000 dan RM93,000, dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta kemudahan elektrik dan air.

“Sejak 2010 (hingga sekarang), LZS telah membina 2,281 rumah untuk golongan asnaf fakir dan miskin di Selangor dengan nilai keseluruhan berjumlah RM99.8 juta melalui Bantuan Bina Rumah Baru.

“Bagi Bantuan Baik Pulih Rumah pula, sejak 2010 hingga kini, sebanyak RM54 juta telah disalurkan bagi membaiki 3,457 rumah milik asnaf fakir dan miskin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bina Rumah Asnaf Fakir dan Miskin di Kampung Sungai Sireh di sini, hari ini.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (tiga, kanan) menyampaikan replika kunci bantuan bina rumah kepada penerima, Saharuddin Wahimo pada Majlis Penyerahan Bantuan Bina Rumah kepada Asnaf Fakir dan Miskin LZS di Tanjong Karang, hari ini. Foto BERNAMA

Penyampaian bantuan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Sementara itu, seorang penerima bantuan tersebut, Juliyah Mohd Ishak, 49, berkata dia amat berterima kasih dan bersyukur atas sumbangan berkenaan yang membolehkannya sekeluarga tinggal di rumah yang lebih selesa.

“Sebelum ini saya dan suami menyewa di Parit 2 Sungai Burong dan sejak tiga tahun lepas, saya tinggal di rumah keluarga bagi menjaga ibu dan ayah yang uzur,” kata ibu kepada 11 anak itu.

Tambah peniaga makanan itu lagi, dia bercadang untuk membawa ibunya yang uzur tinggal bersamanya di rumah baharu mereka.

“Ayah telah meninggal dunia pada Aidiladha lepas akibat sakit tua. Ayah sebelum ini ada bertanyakan bila rumah ini hendak siap, dan bukan rezeki dia sebab dia meninggal sebelum rumah ini siap,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :