Saintis menyediakan sampel semasa penyelidikan dan pembangunan vaksin Covid-19 di makmal bioteknologi BIOCAD di Saint Petersburg, Rusia pada 11 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia muktamadkan pilih vaksin Covid-19 awal 2021 – menteri

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Kerajaan berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin Covid-19 menjelang awal 2021, demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata data daripada beberapa ujian klinikal vaksin Covid-19 yang berada pada fasa ketiga, dijangka dianalisis pada hujung tahun ini.

Menurut beliau, Mosti juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan implikasi undang-undang dan model perolehan bagi vaksin Covid-19.

“Kita juga sedang berbincang terus dengan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa lain bagi pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global Access (Covax).

“Saya juga telah meminta supaya satu perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin berikutan draf penjanjian hampir siap,” katanya selepas melancarkan pengecas tanpa wayar nanotech (METT) yang pertama di Malaysia hari ini.

Tambahnya, rundingan dengan pihak (Covax) bagi penyertaan Malaysia di dalam kemudahan tersebut bagi mendapatkan vaksin Covid-19 yang diperlukan, masih berlangsung.

“Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dengan pihak Covax. Kemudahan ini adalah kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa. Kita bayar untuk benda yg masih belum lagi wujud,” jelasnya.

Antara syarikat yang telah memulakan ujian klinikal terakhir vaksin Covid-19 termasuk Moderna, Pfizer and BioNTech, AstraZeneca, University of Oxford dan Johnson & Johnson.

-BERNAMA


Pengarang :