Dato’ Menteri Besar, Dato ‘ Seri Amirudin Shari berucap ketika Program Kayuhan Hari Malaysia di Dewan MPKK Kampung Baru Batu Caves, Gombak pada 16 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Malaysia perlu hubungan erat, kerjasama semua kekal sejahtera

GOMBAK, 16 SEPT: Malaysia meraikan sambutan ke-57 tahun pembentukannya dan ia membuktikan kejayaan negara ini memerlukan hubungan akrab semua pihak, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hubungan erat terjalin akan menjamin keamanan dan kesejahteraan sesebuah negara tanpa sebarang persengketaan.

“Justeru, marilah kita bersama mengekalkan semangat perpaduan, keutuhan dan kekuatan antara satu sama lain demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Bukan kita tidak boleh menegur tetapi (menegur) ada batas, kaedah dan cara betul agar tidak menimbulkan pergaduhan yang akhirnya menggugat keamanan serta meruntuhkan negara dicintai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kayuhan Hari Malaysia anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Caves dan Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8 di perkarangan dewan komuniti berkenaan di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata Kerajaan Negeri akan berusaha mengukuhkan perpaduan dan memupuk semangat saling bantu-membantu dalam kalangan masyarakat.

“Hasrat kita apabila melaksanakan program kebajikan bukan hanya membantu golongan susah sebaliknya ingin jadikan semangat bantu-membantu sebagai amalan dan kegiatan biasa.

“Apabila semua saling menolong, kita dapat wujudkan sebuah negara yang kukuh kerana keutuhan itu diikat dengan semangat kemanusiaan, rasa belas kasihan dan sayang kepada individu memerlukan dalam meneruskan kehidupan,” katanya.


Pengarang :