Nor Jamilah Ahmad menunjukkan gambar terakhir dirakam di Pulau Jerjak pada 16 September oleh anak saudaranya Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, (duduk, kiri), yang maut dalam kereta akibat keracunan karbon monoksida di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, 17 September 2020, ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya di sini pada 17 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida masih kritikal

GEORGE TOWN, 18 SEPT: Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur dalam kereta dinaiki semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dua hari lepas, masih dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur dan dalam pemantauan rapi pasukan perubatan.

“Keadaannya masih sama seperti semalam, dan saya dimaklumkan oleh pasukan perubatan di sana, dia masih dalam keadaan kritikal.. kami juga akan dapatkan perkembangan beliau dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda (MPV) Honda Civic 1.8s Kontinjen Polis Pulau Pinang, yang menyaksikan pasukan kontinjen itu menerima 26 buah Honda Civic 1.8s untuk MPV dan tujuh lori Hino untuk pelbagai guna, di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata tiada sesiapa yang berada di kawasan parkir stesen minyak itu mengesyaki sesuatu terjadi kepada empat sahabat berkenaan kerana mereka dilihat sedang berehat sahaja dalam kenderaan semasa kejadian.

-BERNAMA


Pengarang :