AGENDAEKONOMINASIONAL

Maybank sasar agih RM4-5 bilion pinjaman biayai digital PKS

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Malayan Banking Bhd (Maybank) menyasarkan untuk mengagihkan pinjaman kira-kira RM4-5 bilion menerusi penyelesaian pembiayaan digital segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Maybank SME Digital Financing yang baharu dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti bank itu, Datuk John Chong berkata dengan tempoh berbaki tahun ini yang tinggal tiga setengah bulan lagi, Maybank menyasarkan untuk mengagihkan kira-kira RM500 juta menerusi produk itu.

“Secara keseluruhannya bagi PKS, kami menjangkakan dapat mengagihkan kira-kira RM35 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan 17 peratus daripadanya disasarkan disumbangkan oleh platform digital itu,” katanya pada sidang media secara maya selepas majlis pelancaran tersebut.

Chong turut yakin terhadap platform digital itu dan menegaskan kualiti aset PKS dapat diuruskan dengan baik walaupun membabitkan campur tangan manusia yang terhad.

“Kami juga dapat mengurus kualiti aset itu dengan baik menerusi data pelanggan mengenai pengetahuan dan teknologi kredit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia Datuk Hamirullah Boorhan berkata setakat ini, pertumbuhan pinjaman segmen PKS telah mencecah 15 peratus berbanding 12 peratus pada tahun lepas.

“Maybank menyasarkan pertumbuhan segmen itu bagi tahun ini sebanyak 18 peratus dengan sasaran agihan RM35 bilion untuk tiga tahun akan datang,” katanya.

Maybank SME Digital Financing itu adalah yang pertama di pasaran menawarkan pengalaman digital secara menyeluruh dengan proses lengkap daripada peringkat permohonan dan pengagihan.

Ia yang berasaskan teknologi pembelajaran mesin, akan membolehkan keseluruhan proses terbabit siap dalam tempoh 10 minit, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dari segi masa pembiayaan PKS di negara ini, kata Maybank.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias dalam pembentangannya di majlis itu berkata produk baharu tersebut menandakan kemajuan seterusnya bank tersebut dalam skop pinjaman digital selain meraih satu lagi pencapaian dalam perjalanan perbankan digital Maybank.

Menurutnya, ia juga menandakan usaha bank berkenaan untuk meningkatkan aspek keterangkuman bagi pembiayaan PKS.

Beliau berkata, usaha bank-bank untuk merekabentuk pendekatan bagi pembiayaan PKS dengan risiko boleh diterima juga merupakan satu cabaran.

“Berpandukan data dan pengetahuan kredit kami sambil memanfaatkan keupayaan pembelajaran mesin, kami dapat mengukur risiko pelanggan dengan lebih baik dan menyediakan pembiayaan termasuk kepada syarikat pemula niaga yang baru beroperasi selama setahun,” katanya.

Beliau berkata kesemua pembiayaan yang ditawarkan menerusi platform itu adalah tanpa cagaran bagi membolehkan penyediaan pembiayaan cepat dan meringankan keperluan aliran tunai segera yang diperlukan oleh perniagaan kecil.

Maybank berkata ia turut bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) untuk memberi perlindungan jaminan bagi pembiayaan PGX/PGX-i Online – salah satu produk yang ditawarkan di saluran digital dengan jaminan sehingga 70 peratus.

Kalangan perniagaan PKS yang berdaftar dengan perolehan di bawah RM25 juta, termasuk bukan pelanggan Maybank, adalah layak memohon pembiayaan menerusi platform itu.

Selain itu, pemohon yang diluluskan juga boleh mendapatkan pembiayaan minimum RM10,000 sehingga maksimum RM250,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun, kata Maybank.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :