Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan pelitup muka guna semula kepada guru besar ketika Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma Kepada Sekolah Daerah Gombak di Dewan Sri Siantan, Selayang pada 11 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: 120,000 pelajar di Gombak terima pelitup muka

GOMBAK, 11 SEPT: Kerajaan Selangor mengagih pelitup muka boleh guna semula kepada 104 sekolah rendah dan menengah dalam daerah Gombak yang memberi manfaat kepada 120,000 pelajar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpaksa menyediakan pelitup muka kepada anak mereka setiap hari.

“Kita fikir bagaimana hendak kurangkan kos ibu bapa apabila pemakaian pelitup muka diwajibkan, bagaimana dengan ibu bapa yang ada ramai anak, sudah tentu perlukan lebih daripada satu pelitup muka setiap hari.

“Ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan anak-anak, selain mendidik mereka untuk patuh tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ditemui selepas menghadiri Program Penyerahan Pelitup Muka Percuma Sekolah Daerah Gombak di Dewan Seri Siantan hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri bakal mengagihkan pelitup muka kepada semua sekolah pada 25 September bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pendidikan kesihatan merupakan aspek penting yang perlu ditekankan di sekolah bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kita tidak mahu sekolah menjadi kluster baharu Covid-19, jadi anak-anak perlu diingatkan pentingnya menjaga kebersihan diri serta patuh SOP,” katanya.

Pada 28 Ogos Kerajaan Selangor mengumumkan bakal mengagih 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula kepada 995,000 pelajar di negeri ini.


Pengarang :