Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menujukkan Buku Himpunan Catatan “Pencak Deklamator” yang dirasmikan ketika Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 18 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB baca sajak tema merdeka, lancar buku ‘Pencak Deklamator’

SHAH ALAM, 19 SEPT: Dato’ Menteri Besar mendeklamasi sajak berjudul ‘Benteng Waja’ pada Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan di kediaman rasminya di sini malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari membaca puisi karya Sasterawan Negara (SN) Datuk A Samad Said pada program julung kali anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Dalam acara yang turut dihadiri SN Datuk Zurinah Hassan dan beberapa pendeklamator terkenal, beliau turut melancarkan Buku ‘Pencak Deklamator’ yang menghimpunkan catatan perjalanan serta pengalaman peserta sayembara deklamasi puisi kemerdekaan sejak 34 tahun lalu.

“Sudah pasti saya rasa sangat gembira kerana dapat berhimpun dengan rakan-rakan dan keluarga besar sayembara puisi malah ia merupakan salah satu pengisian penting sempena Hari Kemerdekaan Malaysia.

“Ia harus diisi dengan kandungan bermakna selain menghidupkan semula karya yang mampu mencorakkan serta membentuk citra dan nadi bangsa,” katanya ketika berucap.

Amirudin juga berharap acara itu menjadi titik penting kepada Selangor untuk menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja maju daripada aspek pembangunan dan teknologi bahkan pemikiran serta jiwa.

“Makna kepada sesebuah negeri atau negara itu harus diisi oleh intelektual, pemikir dan karya yang bermakna sama ada dalam bentuk tulisan, cerpen, novel, puisi mahupun lirik lagu,” katanya.


Pengarang :