Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program Sambutan Hari Malaysia, Pelancaran Nadi Desa MPKK Kampung Sungai Chincin dan MPKK Gombak Utara di pekarangan Masjid Gombak Utara Batu 8, Gombak pada 16 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Berita palsu burukkan keadaan, tangani secara bijak

GOMBAK, 17 SEPT: Kerajaan Negeri terpaksa berdepan dengan cabaran berita palsu sehingga ada diantaranya membuatkan sesuatu isu bertambah buruk di mata rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terdapat pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Kerajaan Selangor termasuk isu penjajaran Sungai Pelempas dan pelarasan elaun kakitangan masjid dan surau.

Namun jelas beliau, isu berkenaan sudahpun diselesaikan dengan baik namun sengaja diambil kesempatan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Jika dulu akhbar dan media menjadi medium utama untuk masyarakat tahu pengumuman atau berita-berita terbaharu. Tetapi sekarang setiap saat kita boleh terima berita palsu, malah ada yang memburukkan tanpa fakta sebenar.

“Tak apalah, mereka boleh serang dengan berita palsu tetapi kami yakin pentadbiran Kerajaan Negeri sudah melakukan yang terbaik buat rakyatnya, kerana inilah janji kita kepada penduduk Selangor,” katanya pada Sambutan Hari Malaysia di Dewan Sri Siantan di sini, semalam.

Menurutnya lagi, cabaran dihadapi membuatkan Kerajaan Selangor berdiri lebih teguh dan menjadi kerajaan sensitif dengan persekitaran terutama membabitkan kepentingan rakyat.

“Ketika Covid-19 melanda, Selangor satu-satunya negeri yang mengumumkan tiga kali pakej rangsangan ekonomi, malah kita sudah belanja lebih dari RM400 juta bagi pakej rangsangan pertama dan kedua.

“Semua dilakukan demi membantu rakyat susah dan semua golongan yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :