Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi rumusan Sindiket 1E : Industri Kreatif dan ucapan penutup ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: E-sukan mampu wujudkan ekosistem baharu

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor mampu membangunkan ekonomi kreatif dengan mewujudkan ekosistem baharu menerusi permainan e-sukan yang makin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata permainan tersebut bukan hanya soal kanak-kanak, sebaliknya memiliki skop yang lebih luas.

“Kita kena tahu bahawa ia merangkumi banyak perkara, merangkumi ekosistemnya yang tersendiri dan ekosistem yang unik ini kepada penciptaan ruang ke kreativiti bakat-bakat yang menciptakan permainan video,” katanya merumuskan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai contoh, seorang warga tempatan, Wan Hazmeer Wan Abd Halim, 40, yang berjaya mencipta permainan video sendiri sehingga dikenali di seluruh dunia.

Amirudin berkata, permainan itu mendapat hasil yang cukup tinggi selepas hanya sehari dilancarkan.

“Permainan ini rupanya boleh menjadi platform untuk promosi, bayangkan permainan siber yang dicipta pereka kita boleh memaparkan padi Sekinchan, Sunway Lagoon atau Batu Caves menjadi latar semasa bermain Street Fighter,” katanya.

“Benda ini sebenarnya ada latar tersendiri yang boleh dibentuk menjadi salah satu watak yang penting kepada pembentukan ekonomi baharu.”

Hazmeer pada bulan lalu, melancarkan permainan video bertajuk ‘No Straight Road’ melalui syarikat miliknya Metronomik.

Manakala Street Fighter merupakan permainan rekaan Takashi Nishiyama dan Hiroshi Matsumoto, yang dikeluarkan syarikat Jepun iaitu Capcom pada 30 Ogos 1987.


Pengarang :