Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan jajaran pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) fasa satu ketika Program Turun Padang ke DUN Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya di Ukay Perdana, Ampang pada 19 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB gesa pembinaan EKVE ikut jadual, surai kesesakan trafik

AMPANG, 19 SEPT: Pemaju digesa menyiapkan projek pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) mengikut jadual bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di Ukay Perdana dan Bukit Antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek yang sepatutnya siap September tahun lalu perlu disegerakan untuk merungkai keresahan penduduk.

“Pembinaan lebuh raya itu pernah berdepan beberapa masalah antaranya berdekatan hutan simpan dan penggazetan kawasan tadahan, namun semuanya sudah selesai.

“Saya harap pemaju ambil maklum dan segerakan pembinaan. Pembangunan ini baik untuk masa hadapan tetapi memerlukan sedikit pengorbanan daripada penduduk,” katanya pada Program Turun Padang Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Amirudin turut menyambut baik pembinaan lebuh raya tersebut yang menghubungkan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Pada 24 Julai 2018, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata pembinaan EKVE bakal menjimatkan masa pengguna dari Ukay Perdana ke Sungai Long, Kajang.

Lebuh raya sepanjang 36.16 kilometer itu menelan kos RM1.51 bilion dan dijangka siap tahun depan.


Pengarang :