Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama peserta ketika Program Gotong-Royong di Dewan India Settelment Batu Caves, Gombak pada 16 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

MB: Jangan alpa ancaman denggi, rakyat digesa jaga kebersihan

GOMBAK, 16 SEPT: Di sebalik usaha berterusan memerangi penularan Covid-19, rakyat di Selangor digesa memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kebersihan setempat bagi mencegah denggi.

Dato’ Menteri Besar berkata amalan gotong-royong perlu diteruskan secara kerap berikutan catatan kes demam denggi yang meningkat termasuk kadar kematian lebih tinggi berbanding pandemik tersebut.

“Ini bukan bermakna saya mengecilkan Covid-19 tetapi kita semua kena berhati-hati dan meningkatkan kesedaran supaya perebakan penyakit denggi dapat dikawal.

“Demi mewujudkan kehidupan sejahtera, semua harus memainkan peranan dengan menjaga kebersihan lokaliti khususnya di tempat pembiakan nyamuk aedes seperti plastik dan polisterina,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program gotong-royong Hari Malaysia yang dikelola Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8 dan Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut menyifatkan aktiviti terbabit sebagai wadah merapatkan ukhwah melalui penglibatan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan termasuk sukarelawan Team Selangor.

Menurut data Jabatan Kesihatan Negeri sehingga minggu epid (ME) ke-37 antara 6 hingga 12 September lalu, Selangor merekodkan 36 kematian berbanding 47 bagi tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 23.4 peratus.

Jumlah kes demam denggi pula 37,778 kes berbanding 52,988 pada tahun lalu dengan lima daerah merekodkan angka tertinggi antaranya Petaling dengan 13,280 kes, Hulu Langat (7,723), Klang (6,366), Gombak (5,448) dan Sepang (2,144).


Pengarang :