Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kaji undang-undang percepat roboh kilang haram

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mengkaji undang-undang yang sesuai bagi mempercepat perobohan struktur kilang haram.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu diambil kerana terdapat kilang dibina di tanah persendirian dan jika didapati bersalah pemilik bertanggungjawab membersihkannya.

“Tapi kalau menggunakan (akta) Kanun Tanah (negara), kita (Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah) kena hantar dulu Notis 7A (kepada pemilik). Notis 7A ini adalah untuk memulihkan tanah-tanah mereka.

“Dengan erti kata, kalau mereka buang sampah mereka kena bersihkan sampah. Mereka (pemilik) kena bubarkan bangunan-bangunan dan struktur yang ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Program The Amin Idris Show di Facebook baru-baru ini.

Beliau menjelaskan pemilik premis pernah menang kes di peringkat perundangan selepas tidak diberikan tempoh secukupnya untuk memindahkan barang.

“Ini kekangan undang-undang yang kita hadapi dan Kerajaan Negeri mengambil garis-garis ini dan melihat keseluruhan undang-undang yang timbul dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah kilang yang dibina di atas tanah kerajaan boleh diroboh dalam tempoh 24 jam walaupun premis berkenaan tidak menjadi punca pencemaran sungai.

Pada 9 September, Amirudin berkata semua kilang haram diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.


Pengarang :