Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bengkel automotif selepas Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa INPENS dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor pada 25 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kendali mesyuarat dalam talian hingga 4 Oktober

SHAH ALAM, 29 SEPT: Dato’ Seri Amirudin Shari akan mempengerusikan mesyuarat utama Kerajaan Negeri secara maya berkuat kuasa serta-merta sehingga 4 Oktober.

Pejabat Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan hari ini berkata sebarang program membabitkan orang ramai diwakilkan kepada EXCO berkaitan.

“Sehubungan itu, pemakluman kehadiran beliau untuk sebarang acara dalam jangka masa terdekat akan dimaklumkan secara terus oleh pejabat Dato’ Menteri Besar kepada urus setia program yang berkenaan,” katanya.

Amirudin juga akan menjalani saringan Covid-19 secara berkala untuk memastikan dirinya bebas jangkitan sebelum kembali bertugas seperti biasa.

Pejabat Dato’ Menteri Besar turut berterima kasih kepada Malaysian Airports Berhad, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, AirAsia dan Selgate Healthcare atas sokongan dan kerjasama berterusan.

“Semoga Allah Yang Maha Penyembuh lagi Maha Mengasihani sentiasa memberkati Selangor Darul Ehsan dan warganya sekali gus mempermudah urusan kita menggempur Covid-19 agar Selangor bebas pandemik sepenuhnya,” kenyataan itu dipetik.

Amirudin menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 sejurus tiba dari Sabah tengah hari semalam.

Bagaimanapun, beliau dan isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad disahkan negatif Covid-19 tetapi mengehadkan urusan dengan bertugas dari rumah.

Amirudin berada di Sabah sejak 22 September lalu bagi membantu jentera Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya negeri.

Bermula 27 September hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Negeri di Bawah Bayu wajib melakukan saringan Covid-19 dan menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah (HSO).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang terlibat akan menerima surat HSO, memakai gelang kuarantin dan diawasi sehingga keputusan makmal diperolehi.


Pengarang :