Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dan mendeklamasikan puisi ketika Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 18 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB mahu anjur Festival Persuratan Melayu 2.0, fokus karya bertulis

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat menganjurkan Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara edisi kedua dengan memfokuskan karya bertulis.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mempromosi seni budaya, bahasa dan karya tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Pada 2017, kita membuat program ini dengan menumpukan karya lisan. Insya-Allah, kita akan cuba melihat pesta persuratan kedua selepas ini kerana saya percaya kita tidak kalah daripada segi kualiti kandungan (karya).

“Cuma kadangkala kita malu-malu untuk menampilkan (karya) dan rasa tunduk dengan karya seperti W.S Rendra (sasterawan Indonesia). Jadi, besarlah harapan agar kita menjadi sebuah bangsa bertamadun serta dihormati,” katanya.

Beliau berucap pada Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan di kediaman rasminya di sini malam tadi.

Penganjuran sulung Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara berlangsung pada 7 hingga 10 Disember 2017 bertemakan ‘Yang Berani Hidup’, membawa pelbagai aspek sejarah, pengalaman dan penggunaan Bahasa Melayu merentasi zaman.

Kemuncak festival pada ketika itu adalah tayangan teater ‘Amangkurat Amangkurat’ karya Goenawan Mohamad iaitu pementasan antarabangsa pertama yang berlangsung di Blackbox, Pusat Seni Persembahan Damansara.


Pengarang :