Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyarungkan ves kepada wakil Ikatan Nadi Desa Selangor sempena Sambutan Hari Malaysia, Pelancaran Nadi Desa MPKK Kampung Sungai Chincin dan MPKK Gombak Utara di pekarangan Masjid Gombak Utara Batu 8, Gombak pada 16 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Nadi Desa tingkat tahap keselamatan, cegah jenayah

GOMBAK, 17 SEPT: Penjenamaan semula Pusat Kawalan Kampung (PKK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Chincin dan Gombak Utara kepada Nadi Desa mampu meningkatkan lagi fungsi anggota dalam mengawal keselamatan komuniti setempat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan itu berperanan  membantu pihak berkuasa membanteras sebarang isu jenayah yang boleh menggugat kesejahteraan kampung.

“Mereka disediakan peralatan perhubungan seperti ‘walkie talkie’ untuk memudahkan komunikasi dengan pihak penguat kuasa seperti polis, bomba, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) jika ada kejadian mencurigakan.

“Di setiap kampung ada satu (Nadi Desa) yang mempunyai ketua dan setiap anggota diberi tunjuk ajar serta latihan asas yang mencukupi bagi memastikan setiap tugasan berjalan lancar,” kata Dato’ Menteri Besar.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Malaysia dan Pelancaran Nadi Desa dua MPKK berkenaan di pekarangan Masjid Gombak Utara Batu 8 di sini semalam.

Pada masa sama, Amirudin turut menyeru masyarakat khususnya sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua supaya terus menyemarakkan keharmonian dikecapi selama ini demi kemakmuran bersama.

Terdapat lapan kampung di DUN Sungai Tua dalam proses penjenamaan PPK yang mula diperkenalkan penggal lalu kepada Nadi Desa.


Pengarang :