Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto Instagram Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Nilai perangkap teknologi, elak rakyat hilang kerja

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Selangor tidak akan membiarkan rakyat negeri ini hilang pekerjaan akibat digitalisasi dan peningkatan automasi susulan norma baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perangkap teknologi perlu dinilai supaya tidak berisiko kepada pekerja dalam melaksana agenda negeri pintar.

“Sekarang kita dalam situasi pascawabak Covid-19. Kita beruntung kerana sejak 2016 sudah lancarkan konsep negeri pintar dan menjelang 2025, kita tetapkan gagasan bawa Selangor ke arah digitaliasi.

“Kita kena lihat kesan kepada pekerja kerana banyak kilang pengeluaran masih berasaskan tenaga kerja sebab itu pakej ketiga (rangsangan ekonomi) kita umum latihan kemahiran.

“Ini harus dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan dan semua agensi sosial seperti dilakukan dalam menghadapi wabak Covid-19,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Amirudin turut menyatakan komitmen penuh Kerajaan Negeri untuk memulihkan ekonomi, merapatkan kesenjangan pendapatan, menjamin kesejahteraan dan keadilan supaya Selangor kekal sebagai pemangkin ekonomi negara.

Beliau menyifatkan pascapandemik ini sebagai saat penting bagi golongan berpendapatan menengah dan semua yang berjuang menghala ke taraf itu.

“Sebelum ini teknologi membuka pintu kepada industri perniagaan untuk melakukan yang lebih dengan sumber yang kurang. Kini, teknologi serta digitalisasi menjadi sangat asasi dan wajib bagi peniaga untuk terus berniaga dengan selamat sambil menjamin kesihatan mereka.

“Untuk mengembangkan pelaburan di Selangor, kita harus melabur dalam idea baharu supaya kita meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur dari luar negara untuk meneruskan aktiviti ekonomi,” kata Amirudin lagi.

 


Pengarang :