Selangorkini
Serbuk arang dilepaskan ke dalam Sungai Gong, Gombak untuk mengurangkan kesan bau pencemaran pada 3 September 2020. Foto Facebook Hee Loy Sian
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Pencemar sumber air berdepan denda RM1 juta, penjara tiga tahun

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Individu didapati bersalah mencemarkan sumber air Selangor berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tiga tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pindaan hukuman di bawah Seksyen 79 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri yang dijangka November ini.

“Denda RM100,000 akan dipinda kepada nilai tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta serta boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun.

“Kerajaan Selangor memandang serius isu pencemaran sungai dan Luas sedang menambah baik Enakmen Luas 1999 meliputi keseluruhan perihal pengurusan sumber air negeri terutama tahap hukuman,” katanya melalui ucapan dibacakan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri hari ini.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menyemak Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sebelum membuat pindaan bagi menekankan hukuman berat kepada pesalah terbabit.

“Luas menubuhkan Skuad Pantas bagi mengawal 24 jam kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang berisiko menyebabkan henti tugas loji pembersihan air,” katanya.


Pengarang :