Dato’ Seri Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat EXCO secara dalam talian di kediaman rasminya pada 30 September 2020. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB pengerusikan mesyuarat MMKN dalam talian

SHAH ALAM, 30 SEPT: Dato’ Menteri Besar hari ini memulakan tugas dari rumah dengan mempengerusikan mesyuarat EXCO secara maya kerana masih menjalani kuarantin.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Facebook memaklumkan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa dan disesuaikan dengan norma baharu.

“Mesyuarat disertai dua EXCO baharu Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang telah mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” tulisnya.

Setelah pulang dari Sabah beberapa hari lalu, Amirudin menjalani kuarantin di kediaman rasmi tetapi keputusan ujian saringan semalam menunjukkan beliau negatif, namun mengambil keputusan untuk bertugas dari rumah beberapa hari lagi.

Pejabat Dato’ Menteri Besar semalam menyatakan beliau akan memimpin mesyuarat pentadbiran negeri secara dalam talian sehingga 4 Oktober.

Kenyataan itu juga memaklumkan sebarang program beliau yang membabitkan orang ramai akan diwakilkan kepada EXCO berkenaan.

Beliau juga akan menjalani saringan Covid-19 secara berkala untuk memastikan dirinya bebas jangkitan sebelum kembali bertugas.

Amirudin berada di Sabah sejak 22 September lalu bagi membantu jentera Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya negeri.

Kementerian Kesihatan mewajibkan individu yang pulang dari Sabah antara 27 September hingga 10 Oktober melakukan saringan Covid-19 dan menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah.


Pengarang :