Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Malam Anugerah Ikon Agro Selangor 2020 di Dewan Orkid Wisma PKPS Shah Alam pada 14 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Penyertaan belia Selangor dalam pertanian semakin positif

SHAH ALAM, 15 SEPT: Golongan belia kini semakin cenderung menceburi bidang pertanian menggunakan teknologi moden yang memberikan pulangan hasil lumayan.

Dato’ Menteri Besar berkata perkembangan positif itu ditunjukkan mereka menerusi penyertaan dalam Ikon Agro Selangor 2020 dengan anggaran usia sekitar 40 tahun ke bawah.

“Apa yang menggembirakan saya mereka (belia) menyertai bidang ini dan menghasilkan produk pertanian berkualiti tinggi dan berdaya saing.

“Sebahagian besarnya pernah dibawa Jawatankuasa Pertanian dan Jawatankuasa Keusahawanan ke pameran antarabangsa di Jepun dan Singapura termasuk pameran tempatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas Majlis Ikon Agro Selangor 2020 di Dewan Orkid, Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini semalam.

Beliau berkata Selangor terdedah dengan perkembangan teknologi moden kerana mempunyai pelbagai agensi yang sentiasa mengkaji perkara baharu industri pertanian seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi).

Amirudin berkata dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa 3 dibentangkan di Dewan Negeri Selangor Julai lalu, Kerajaan Negeri menyasarkan peruntukan RM50 juta yang akan digerakkan PKPS bagi memulakan inisiatif pertanian baharu walaupun berdepan masalah seperti tanah yang terhad serta sumber tenaga manusia.

“Walaupun bidang ini hanya menyumbang sekitar 1.4 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor tetapi ia masih berpotensi menghasilkan produk berkualiti untuk kegunaan tempatan,” katanya.

Amirudin sebelum itu menyampaikan anugerah kepada 10 Ikon Agro Selangor yang dipilih berdasarkan kejayaan dalam bidang pertanian termasuk penggunaan teknologi moden dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi serta dilantik menjadi duta bagi membimbing kumpulan baharu.


Pengarang :