Dato’ Seri Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tambah tangki air di hospital, kurangkan dampak gangguan bekalan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Bilangan tangki air akan ditambah di beberapa lokaliti strategik seperti hospital dan pusat dialisis bagi meminimumkan gangguan bekalan air ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media hari ini turut menjangka proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mengambil masa lebih 48 jam.

“Justeru, kita memerlukan bantuan daripada pihak bomba dan Angkatan Tentera Malaysia di samping menerima sokongan beberapa tangki dari Johor, Negeri Sembilan serta Terengganu.

“Dari semasa ke semasa, kita jangka perkara ini (gangguan bekalan air) bertambah pulih kerana kita mempunyai tangki dan lori yang mampu memenuhi keperluan lokaliti terbabit,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) di sini.

Amirudin berkata Air Selangor menjangka 50 peratus bekalan air pulih sehingga tengah malam esok, selain berharap masyarakat tidak menyediakan simpanan air yang banyak kerana dibimbangi melambatkan pemulihan ke kawasan lain.

“Kalau tekanan air dapat dipulihkan segera, kita nasihatkan penduduk bukan masanya untuk menadah atau menyediakan logistik air yang besar.

“Jadi, gunakan air seperti biasa untuk pelan pemulihan lebih pantas memandangkan ia (bekalan air) bergantung pada kolam keseimbangan. Kolam itu dapat menyalurkan sepenuhnya apabila penuh 100 peratus,” katanya.


Pengarang :