BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA beli 45 kamera badan, elak isu provokosi dan fitnah

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membeli 45 unit kamera badan bagi mengatasi isu provokasi dan fitnah dalam kalangan anggota penguat kuasa ketika bertugas.

Datuk Bandar Shah Alam berkata selain untuk rakaman, alat tersebut boleh menghubungkan video secara langsung dengan pusat kawalan ketika melaksanakan operasi yang akan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setiap kamera badan berharga RM1,000 dan kita sedang mempertimbang untuk menambah bilangannya dan setakat ini seorang daripada pasukan penguat kuasa akan memakainya ketika bertugas.

“Penggunaan alat ini memberi keadilan kepada kedua-dua pihak jika penguat kuasa difitnah ketika bertugas atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa,” kata Dato’ Haris Kasim pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 dengan tema merintis Norma Baharu Untuk Shah Alam Sejahtera di Wisma MBSA semalam.

Pada 22 Jun EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melengkapkan anggota penguat kuasa dengan kamera badan bagi meningkatkan kecekapan dan integriti.

Pada 6 Februari, seorang wanita memukul penguat kuasa MBSA selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.


Pengarang :