Farah Ann menjadi gimnas artistik wanita pertama di negara ini yang layak ke Olimpik selepas 20 tahun. Foto Instagram Farah Ann Abdul Hadi
AGENDASUKANKINI

MGF beri peluang kepada gimnas dari luar Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan memberi lebih peluang kepada atlet peringkat akar umbi di luar Kuala Lumpur dan Selangor untuk mengisi barisan gimnas baharu di negara ini.

Presiden MGF Rachel Lau berkata, usaha itu bagi melahirkan lebih ramai gimnas seperti Farah Ann Abdul Hadi untuk mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

“Farah Ann telah membanggakan kami setelah layak ke Sukan Olimpik Tokyo. Oleh itu, untuk memiliki barisan pelapis yang terbaik adalah sangat penting buat kami.

“Saya rasa kita terlalu fokus pada atlet di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum ini, jadi saya ingin memberi peluang yang sama kepada peringkat akar umbi yang tidak pernah mendapat peluang, misalnya di Terengganu dan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan MGF ke-25, di sini, semalam.

Lau juga percaya barisan jurulatih, pasukan teknikal dan sokongan akan melakukan yang terbaik untuk mencari gimnas terbaik seperti Farah Ann.

Farah Ann, 26, menjadi gimnas artistik wanita pertama di negara ini yang layak ke Olimpik selepas 20 tahun apabila menduduki tangga ke-16 daripada 20 dalam sesi kelayakan acara individu keseluruhan di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman, tahun lepas.

Beliau juga adalah gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik, selepas Au Li Yen pada 2000 (Sydney) dan Ng Shu Wai pada 2004 (Athens).

– BERNAMA


Pengarang :