ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meninjau lokasi ban pecah susulan fenomena air pasang besar pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang
ADNSELANGOR

MPK, JPS diminta kaji semula kawasan saliran elak limpahan banjir

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengkaji semula kawasan saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan banjir jika berlaku fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata insiden ban pecah di beberapa lokasi berikutan fenomena itu semalam menyebabkan air laut melimpah dan menjejaskan penempatan berhampiran.

“Dua kawasan ban pecah tersebut adalah di Kampung Pendamar dan Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

“Manakala di Taman Selat Damai Pelabuhan Klang pula, terdapat beberapa kawasan menjadi laluan air masuk yang mengakibatkan air laut melimpah di sebahagian kawasan kejiranan di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau menambah pihaknya menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk membaiki ban pecah serta menambah baik fasiliti sedia ada bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menurutnya, MPK melalui Jabatan Kejuruteraan turut menghantar jentera bagi membaiki kerosakan ban di Taman Teluk Gedung Indah sebagai usaha jangka pendek menutup rekahan dan lubang pecah.


Pengarang :