Penguat kuasa MPS memeriksa maklumat bengkel penyelenggaraan jentera dalam pemeriksaan bersepadu di sekitar Sungai Gong pada 7 September 2020. Foto: MPS
AGENDAPBTSELANGOR

MPS tarik balik lesen empat kilang di Sungai Gong

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menarik balik lesen empat kilang di sekitar Sungai Gong, Rawang atas kesalahan menjalankan aktiviti tambahan tanpa kebenaran.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata pihaknya mengeluarkan notis pematuhan syarat lesen kepada pemilik premis termasuk satu pejabat urusan perniagaan kerana beroperasi tanpa kelulusan.

“Sebanyak 15 kilang diperiksa untuk memastikan setiap kilang beroperasi dengan sah dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPS dan agensi yang berkaitan.

“Pihak MPS juga ke kilang penyelenggaraan jentera di kawasan sama yang disyaki menjadi punca pencemaran air di kawasan tersebut untuk penyerahan notis dibawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah syarikat terbabit diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan kepada MPS sebelum tindakan roboh dilaksanakan.

“Pihak PDT Gombak juga telah menyerahkan Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) atas kesalahan melanggar syarat guna tanah.”


Pengarang :