AGENDANASIONAL

Op Ambang Merdeka: Polis tahan lima lelaki berjudi

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Polis menahan lima lelaki yang leka bermain judi daun terup di Jalan Penchala 7, Kampung Sungai Penchala dalam ‘Op Ambang Merdeka’ awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata dalam serbuan pada kira-kira 1.30 pagi di sebuah kolam ternakan ikan itu, pihaknya merampas 110 keping daun terup dan wang tunai berjumlah RM2,452 yang dipercayai duit hasil perjudian.

“Kelima-lima suspek warga tempatan berumur dalam lingkungan 56 hingga 62 tahun itu ditahan reman selama sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu bermain judi di tempat awam.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata operasi berakhir pada 3 pagi dan kesemua suspek turut dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.

Dalam operasi sama, lapan saman dikeluarkan polis Brickfields bagi pelbagai kesalahan.

“Pada kira-kira pukul 10 malam, polis telah menjalankan operasi di sekitar kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang melibatkan seramai 15 pegawai kanan dan 83 pegawai rendah polis.

“Seramai 288 orang dan 230 pelbagai jenis kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu,” katanya.

Polis mengadakan tujuh sekatan jalan raya dan turut menumpukan pemeriksaan di beberapa premis perniagaan kedai makan serta pub bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard PKPP dilaksanakan.

– BERNAMA


Pengarang :