AGENDA NASIONAL

Operasi SAR pesawat terhempas dihenti hingga ada maklumat baharu

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Polis menghentikan dahulu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat ringan yang dikatakan terhempas di kawasan perairan berhampiran Tanjung Bungah sehingga mendapat maklumat baharu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata SAR yang dijalankan hingga 6.30 petang semalam tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung insiden yang dikatakan berlaku kira-kira 2 petang semalam itu.

“Hingga 11 pagi hari ini, pihak polis masih belum menerima laporan mengenai kehilangan juruterbang atau pesawat ringan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan mana-mana syarikat penerbangan untuk dikaitkan dengan kejadian tersebut.

“Polis juga telah membuat semakan dengan CAAM dan hingga hari ini semua pesawat yang keluar telah kembali atau tiba dengan selamat di tempat yang dituju, malah berhubung sebuah helikopter berwarna kuning yang dilaporkan kelihatan sebelum kejadian tersebut di kawasan perairan Pulau Pinang juga telah selamat sampai di Subang, Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Soffian berkata polis turut mendapatkan maklumat daripada orang awam termasuk pemancing dan nelayan yang berada di kawasan itu yang memaklumkan mereka tidak melihat sebarang kejadian pesawat ringan terhempas.

Mengulas lanjut beliau berkata kejadian itu dilaporkan oleh tiga individu iaitu dua nelayan dan seorang pengawal keselamatan, masing-masing berusia lingkungan 50-an, yang mendakwa melihat sebuah objek sebesar kotak mancis yang dikatakan turut mempunyai belon pada bahagian ekor, terhempas ke dalam laut.

Katanya berdasarkan siasatan awal, tiga saksi itu konsisten dalam keterangan masing-masing berhubung kejadian.

Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Semalam, polis bersama beberapa agensi lain menjalankan SAR di perairan tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumkan ternampak sebuah pesawat ringan terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah.

Laporan itu turut tular menerusi laman sosial.

-BERNAMA


Pengarang :