Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) mempengerusikan mesyuarat bulanan Majlis Presiden PAKATAN di ibu pejabat KEADILAN pada 28 September 2020. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PAKATAN berazam terus tegak keadilan, banteras rasuah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) berazam terus menegakkan keadilan dan membanteras rasuah jika membentuk kerajaan baharu.

“PAKATAN menegaskan walau apa sekalipun langkah diambil dalam mengembalikan mandat rakyat, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh dikompromi,” kata gabungan ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Majlis Setiausahanya yang ditandatangani Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Semalam, Majlis Presiden PAKATAN mengadakan mesyuarat bulanan yang antara lain membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada 26 September.

Gabungan itu bersama Warisan tewas dalam pilihan raya tersebut dengan meraih 32 daripada 73 kerusi.

Beberapa hari sebelum PRN berlangsung, Pengerusi PAKATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan ramai ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti “kukuh dan meyakinkan”.

Enggan mendedahkan jumlah majoriti tersebut, beliau berkata kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi dapat dipertahankan.

Anwar turut diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 September lalu, namun terpaksa ditangguh susulan kegeringan baginda.

“PAKATAN mendoakan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan sembuh dari sebarang masalah kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi,” kata gabungan itu lagi.


Pengarang :