Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 11 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pandemik menukar paksi ekonomi

Pandemik Covid-19 dan kesannya kepada ekonomi menunjukkan kita tidak boleh kembali kepada apa yang kita lakukan sebelum ini. Ungkapan normal baharu dicanang dan diratibkan di mana-mana, baik menerusi media mahupun kedai kopi. Umum memahami kebiasaan baharu adalah perubahan dari segi cara kita menjual dan membeli barang, menjalankan perniagaan, pergi balik sekolah, berinteraksi sesama kawan dan keluarga serta bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Namun, saya mempelawa hadirin untuk meluaskan takrifan itu. Kebiasaan baharu harus merangkumi dan mengubah cara berfikir mengenai ekonomi dan gaya hidup serta menjawab persoalan penting, “Apa masa hadapan kita pascawabak? What is our post-Covid-19 society going to look like? And how do we plan to get there?”

Dalam menjawab persoalan ini, sudah pasti pandangan kita mengenai ekonomi tidak dapat kembali kepada biasa dalam menghadapi krisis sebegini besar.

Berdepan dengan cabaran ekonomi Kemelesetan Besar 1930-an (The Great Depression) bermula pada 1929, Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt mengumumkan pakej baharu (The New Deal) yang dilihat amat revolusioner pada 1933, dan dianggap berjaya menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat sekali gus dunia. Pada waktu itu, Roosevelt berkata, “No country, however rich, can afford the waste of its human resources. Demoralization caused by vast unemployment is our greatest extravagance. Morally, it is the greatest menace to our social order.”

Sejarah krisis

Apabila berdepan krisis, kita cenderung mengimbau dan merenung pengajaran dari sejarah. Kenapa tidak? Sejarah memberi pelajaran penting sebagai pedoman, menegur salah dan silap. Sejarah juga membantu kita merangka pelan serta langkah baharu untuk maju ke hadapan. Krisis seumpama pandemik pasti membuatkan kita menelusuri kembali sejarah antaranya Kemelesetan Besar 1930-an, Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan 2007-2008.

Namun, apakah pengajaran yang dipelajari? Apakah pedoman yang telah kita renungi? Pascawabak jika tidak ditangani dengan berhemah, berkemungkinan menjurus kepada satu lagi krisis ekonomi. Ada yang menyebut mungkin lebih parah dari Krisis Kewangan Asia 1997.

Cukuplah dengan ramalan ekonomi yang pesimistik. Apa yang lebih penting bagaimana menangani krisis jika kemelesetan benar-benar melanda Malaysia khususnya Selangor. Sesuai saranan ahli ekonomi tersohor Mariana Mazzucato, kita harus memikirkan semula hubungan simbiotik kerajaan dan swasta ataupun perkongsian awam-swasta. Sebagai hubungan rapat dan berjangka panjang, adakah hubungan ini akan bersifat saling menguntungkan, tidak merugikan atau menghisap darah?

Kedua, kita wajar memberi perhatian yang substantif terhadap konsep suntikan fiskal teknologi hijau. Ketiga, menukar peranan paksi ekonomi kerajaan dari pendekatan pemegang saham kepada pemegang taruh ataupun shareholders to stakeholders di mana pandemik membuktikan dasar dan pembiayaan kerajaan dapat menggembleng pembiayaan sektor swasta. Konsep ini dikenali sebagai Negara Keusahawanan (The Entrepreneurial State).

Nasib pekerja

Antara aspek lain adalah nasib mereka yang hilang kerja akibat pendigitalan dan peningkatan automasi. Sementara melaksanakan agenda pendigitalan dan negeri pintar, wajar kita menilai risiko yang disebut perangkap teknologi terhadap negeri serta rakyat Selangor.

Kini, pakar-pakar ekonomi melontar perbincangan idea-idea baharu seperti Dana Kekayaan Awam (Public Wealth Fund) bagi menangani nasib pekerja yang hilang kerja. Dana Kekayaan Awam digunakan untuk menaik taraf kemahiran pekerja, menangani isu perubahan iklim ataupun climate change, dan merapatkan ketaksamaan ekonomi. Ini harus menjadi perbincangan yang melibatkan “Whole of government and whole of society approach” seperti yang kita lakukan dalam menghadapi wabak.

Saya juga ingin menyatakan komitmen penuh Kerajaan Negeri dalam memulihkan ekonomi, merapatkan kesenjangan pendapatan antara yang kaya dan miskin, menjamin kesejahteraan dan keadilan supaya Selangor terus kekal sebagai reaktor ekonomi negara.

Detik pascawabak penting ataupun “the make-or-break moment” bagi golongan berpendapatan pertengahan dan semua yang menghala ke taraf golongan berpendapatan pertengahan.

Pintu teknologi

Sebelum ini, teknologi membuka pintu kepada industri perniagaan untuk melakukan yang lebih dengan sumber yang kurang. Kini, teknologi serta pendigitalan menjadi sangat asasi dan wajib bagi peniaga untuk berniaga dengan selamat sambil menjamin kesihatan mereka.

Untuk mengembangkan pelaburan di Selangor, kita harus melabur dalam idea-idea baharu supaya kita meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur luar negara untuk meneruskan aktiviti ekonomi.

Pada waktu sama, Kerajaan Negeri prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat terutama golongan yang terjejas dan benar-benar memerlukan. Pandemik dan krisis yang bakal menyusul menunjukkan falsafah “you’re on your own economics” tidak realistik dan tidak mampu menangani krisis. Malah, kerajaan harus bertanggungjawab memastikan “the economic shock absorbers are in place to ensure no one will be left behind”. Dan itulah prinsip yang telah saya terapkan dalam pentadbiran ini.

Dan saya memberi jaminan kepada setiap warga Selangor; cabaran ekonomi yang sedang dan akan kita hadapi tidak mudah diselesaikan. Namun kerajaan bekerja kuat untuk memastikan anda tidak terbiar dan mempunyai segala peralatan yang diperlukan untuk mengharungi cabaran ini dan terus berjaya.

*Sebahagian ucaptama Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September


Pengarang :