Pengerusi SKMM, Al – Ishsal Ishak bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

PBT disaran kurangkan birokrasi, bantu lebih banyak jaringan komunikasi

SHAH ALAM, 6 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengurangkan birokrasi terhadap syarikat telekomunikasi bagi membolehkan jaringan komunikasi lebih baik di setiap kawasan, kata bekas pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Al-Ishsal Ishak berkata jaringan komunikasi yang lebih luas membolehkan lebih ramai usahawan digital diwujudkan pada masa akan datang.

“Sekiranya Kerajaan Negeri dan PBT membantu mempermudahkan permohonan syarikat industri telekomunikasi seperti Telekom Malaysia, Maxis, Celcom dan TIME masuk ke sesebuah kawasan, maka jaringan komunikasi untuk usahawan digital juga lebih mudah.

“Namun kini, disebabkan talian komunikasi yang lemah menyebabkan produk usahawan tidak dapat dipasarkan dengan baik,” katanya pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro, Abd Azharee Abdul Wahid berkata masalah kekurangan talian telekomunikasi perlu diselesaikan segera oleh Kerajaan Negeri dan pusat.

“Isu data perlu diselesaikan segera, kekurangannya menyebabkan usahawan mikro tidak mempunyai peluang memperkenalkan produk mereka di tempat lain.

“Sekiranya kita hendak mewujudkan lebih ramai usahawan digital, Kerajaan Negeri juga perlu menambahbaik infrastruktur kumpulan berkenaan. Ia termasuk telefon bimbit dan data, itu adalah perkara asas yang perlu ada pada usahawan digital,” katanya.


Pengarang :