Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Pelabur semakin berminat dalam pelaburan mapan – StanChart

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pelabur semakin berminat kepada pelaburan yang berteraskan tanggungjawab sosial di tengah-tengah perubahan pasaran akibat Covid-19, demikian menurut Kajian Pelaburan Mapan Standard Chartered Private Bank (StanChart) 2020.

Sebanyak 90 peratus daripada 1,000 pelabur dalam tinjauan itu menyatakan mereka berminat dalam pelaburan mapan dengan 42 peratus bercadang melabur antara lima dan 15 peratus daripada dana mereka dalam pelaburan mapan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

“Pandemik ini telah meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu mapan, daripada melihat dunia yang lebih mapan dan mesra alam sekitar kepada peningkatan semula minat untuk melabur dalam syarikat yang berdaya tahan untuk mengharungi kejutan jangka pendek dan bertahan untuk jangka panjang,” menurut StanChart dalam kenyataan hari ini.

Kajian itu yang memberi tumpuan khusus kepada pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi (HNW) di Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom mendapati golongan ini bersedia mempertimbang untuk memperuntukkan dana kepada pelaburan mapan tanpa mengambil kira sama ada mereka mempunyai pengalaman terdahulu dalam membuat pelaburan seumpama itu.

StanChart berkata, bagaimanapun pelabur, kurang arif mengenai cara memenuhi matlamat impak dan sosial yang berkaitan dengan minat mereka.

Menurut bank itu, 98 peratus daripada pelabur mewah berminat dengan pelaburan mapan, manakala 93 peratus bimbang untuk melabur dalam bidang ini.

“Sehubungan itu, bank memainkan peranan utama menyediakan panduan penting kepada pelanggan untuk mencari peningkatan momentum dalam pelaburan mapan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :