Pelakon veteran, Idris Mat Diah. Foto Facebook
AGENDANASIONAL

Pelakon veteran Idris Mat Diah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pelakon veteran, Idris Mat Diah yang membawa watak Pak Andak dalam drama ‘7 Hari Mencintaiku’, meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita kematian Idris, 61, disahkan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan, hari ini.

“Menurut anak Allahyarham, Alia, ayahnya tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi tadi, mereka menghubungi pihak ambulans yang kemudiannya mengesahkan arwah meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi,” kata Hafiz.

Hafiz berkata jenazah Allahyarham kini dalam perjalanan dari Putrajaya ke rumah mereka di Kepong dan akan diuruskan di Masjid Al-Faizin Kepong sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong.

“Anak arwah juga memaklumkan jika arwah ada berhutang pada sesiapa beliau memohon agar menghubungi pihak waris,” katanya menambah Seniman Malaysia turut mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

Selain drama ‘7 Hari Mencintaiku’, Allahyarham juga pernah muncul dalam drama ‘Cucu Tauke Beras’, ‘Menantu Bilal’, ‘Andainya Takdir’ dan ‘Zahir Tak Terucap’.

-BERNAMA


Pengarang :