Allahyarham Dato’ Zulkifli Zain meninggal dunia pada Sabtu, 5 September 2020. Grafik: Facebook Finas
AGENDANASIONAL

Pelakon veteran Zulkifli Zain meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia di kediamannya di Ukay Perdana pada kira-kira 7.30 malam tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Perkara itu disahkan anaknya, Norzaza ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Normala Omar dan anak-anaknya.

Sebelum ini, Zulkifli yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta buah pinggang dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Allahyarham memulakan karier sebagai pelakon melalui filem Jiwa Remaja pada tahun 1975 dan telah muncul dalam lebih sepuluh buah filem serta beratus-ratus drama sepanjang menceburi dunia hiburan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Zohor esok.

-BERNAMA

 


Pengarang :