(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pencemaran air: Mahkamah kekalkan tempoh reman empat beradik

SHAH ALAM, 11 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah lanjutan tempoh reman lima hari lagi terhadap empat pengurus kilang yang merupakan adik-beradik bagi siasatan kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail serta peguam Abdul Rashid Ismail dan Datuk M Reza Hassan, yang mewakili keempat-empat suspek berkenaan.

Hakim itu berkata pertimbangan dibuat oleh majistret untuk melanjutkan tempoh reman berkenaan adalah betul memandangkan pelbagai siasatan perlu dilakukan kerana kejadian pencemaran tersebut serius serta melibatkan kepentingan awam dan pelbagai agensi.

“Tempoh masa (reman) diberi dalam kes ini adalah munasabah. Saya tidak terfikir untuk kurangkan (tempoh masa reman) melainkan diberi sehingga 14 hari.

“Saya berpendapat pertimbangan majistret antaranya banyak barang kes dan pelbagai siasatan perlu dibuat itu betul. Saya dapati alasan majistret (berkaitan tempoh reman) tiada khilaf,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid dan M Reza membuat permohonan semakan lanjutan perintah reman terhadap anak guam mereka yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang semalam selepas reman pertama sejak Sabtu lepas tamat.

Kesemua suspek berumur 50 hingga 60 tahun itu ditahan reman bagi siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ekoran pencemaran minyak dari kilang itu pada 3 Sept lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

-BERNAMA

 


Pengarang :