AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pencemaran di muka sauk empat loji rawatan air semakin pulih

SHAH ALAM, 4 SEPT: Pencemaran di muka sauk empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas semalam susulan pencemaran Sungai Selangor berkurangan dari tiga kepada satu TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran berada pada tahap sifar TON.

“LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 pagi ini kerana pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

“(Justeru), bantuan bekalan air akan terus diagih melalui lori tangki dan pengguna disaran mendapatkan bekalan melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat yang beroperasi 24 jam.”

Semalam, LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada 9 pagi.

Siasatan Lembaga Urus Air Selangor mendapati pencemaran berpunca daripada kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

 


Pengarang :