Paparan skrin menujukkan antara aplikasi media sosial popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengguna media sosial diingatkan jaga ‘Kesopanan dan Kesusilaan’

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kementerian Perpaduan Negara mengingatkan pengguna media sosial agar sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dalam interaksi menerusi dunia maya bagi memelihara perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata sikap segelintir pengguna media sosial yang tidak menjaga perkataan dan adab ketika memuat naik status dilihat membimbangkan dan boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

“Kuasa media sosial sangat hebat dan berpengaruh, banyak pengguna yang berselindung di sebalik akaun identiti palsu dan mengeluarkan komen tidak sopan, menyinggung dan sebagainya.

“Kita perlu menambah baik amalan dan budaya media sosial, perlu ada semak dan imbang,” katanya kepada pemberita pada program Perbincangan Meja Bulat Rukun Negara – Sambutan Ulang Tahun Ke-50 di sini hari ini.

Bagaimanapun Ti sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini memandangkan undang-undang sedia ada memadai.

Sebaliknya, kata beliau perkara yang perlu difokuskan ialah penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang terbabit termasuk kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya lebih percaya kepada penyelesaian menerusi pendidikan dan memberi kesedaran, namun formula membentuk perpaduan ini bukanlah satu perkara yang boleh dibuat dan dilihat hasilnya dalam masa singkat,” jelasnya.

Ti juga menyeru orang ramai menjadi ‘mata-mata’ pihak berkuasa dengan mengenal pasti dan melaporkan individu atau pihak yang mencetuskan provokasi atau melakukan perkara yang menggugat perpaduan masyarakat.

– BERNAMA


Pengarang :