Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Selangor Muhammad Hafiz Shaari (kanan) pada Majlis Pelancaran Program Selangor Mega Job Fair 2020 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 15 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengunjung Selangor Mega Job Fair 2020 diminta daftar dalam talian

SHAH ALAM, 16 SEPT: Orang awam diminta mendaftar dengan Jobs Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum mengunjungi lokasi Selangor Mega Job Fair 2020.

EXCO pembangunan generasi muda berkata langkah itu bagi mengelakkan kesesakan di kaunter masuk selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat bermula 15 September di pautan http://nfdot.com/ereg/views/jobfair/ . Pemohon akan mendapat kod QR dan disediakan laluan khas di setiap lokasi untuk yang sudah mendaftar.

“Kita bimbang jumlah hadir terlalu ramai. Ini akan mengambil masa lama jadi yang tak daftar mungkin berdepan masalah atau tidak dibenarkan masuk ke karnival kerjaya ini,” kata Mohd Khairuddin Othman pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Mega Job Fair 2020 di sini semalam.

Beliau berkata pengunjung juga diminta memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika hadir di lokasi penganjuran.

“SOP ini diluluskan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Salangor (STFC) selain program dijalankan mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Selangor Mega Job Fair 2020 menawarkan 24,500 peluang pekerjaan dan dilangsungkan di sembilan lokasi bermula awal Oktober hingga hujung tahun.

Berikut adalah lokasi dan tarikh program:

1. SACC (3 dan 4 Oktober)
2. Stadium Tertutup Kuala Selangor (10 dan 11 Oktober)
3. Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, Kuala Langat (24 dan 25 Oktober)
4. Pusat Komuniti Gombak (7 dan 8 November)
5. Dewan Seri Cempaka Kajang, Hulu Langat (14 dan 15 November)
6. Sepang (21 dan 22 November)
7. Hulu Selangor (5 dan 6 Disember)
8. Sabak Bernam (12 dan 13 Disember)
9. Klang (28 dan 29 Disember)


Pengarang :