Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penularan Covid-19 masih terkawal, kadar kebolehjangkitan 1.39

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Penularan Covid-19 di Malaysia masih lagi terkawal dengan kadar kebolehjangkitan (RO), atau disebut ‘R-Naught’ adalah kurang daripada 1.6 dengan kadar ketika ini adalah 1.39, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“RO ketika ini adalah 1.39 dan keadaan masih terkawal. Tahap kritikal adalah 1.6 dan di Sabah kira-kira 1.42. Kita masih dapat mengawal penularan dengan syarat kita terus melakukan yang terbaik dengan langkah-langkah kesihatan awam di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media perkembangan pandemik Covid-19 di sini semalam.

Mengambil contoh Sabah, Dr Noor Hisham berkata pelbagai langkah kesihatan awam telah diambil sejak sebelum pilihan raya negeri (PRN) itu, termasuk kawalan sempadan dan sekatan jalan raya. Bagaimanapun, tindakan tidak dibuat secara rasmi.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) diumumkan secara rasmi semalam (Isnin) dan dikuatkuasakan hari ini (semalam) hingga 12 Oktober di empat daerah – Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

“Kami berharap dapat memperketat kawalan keselamatan dan mengawal aktiviti di kawasan berkenaan. Kami berharap dapat terus mengesan kes positif dan membendung penularan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) telah terbukti dapat membendung dan memutuskan rantaian jangkitan di beberapa kawasan, masyarakat dan daerah.

Beliau berharap orang ramai terus memberikan kerjasama dengan mematuhi syarat ditetapkan kementerian seperti menjalani ujian saringan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Klia2.

Mengulas mengenai TEMCO, Dr Noor Hisham berkata walaupun dilaksanakan di beberapa daerah, namun fokus tetap diberikan kepada beberapa perkampungan seperti Sri Tanjung di Tawau, bandar-bandar dan kawasan yang dikenalpasti.

Mengenai tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan mereka yang terlibat ketika PRN Sabah yang selesai baru-baru ini, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada aduan mengenai ketidakpatuhan terhadap SOP diterima.

– BERNAMA


Pengarang :