EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim meninjau Jalan Elmina di Persiaran Shorea, Elmina, Shah Alam. Turut hadir EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan selaku ADN Paya Jaras, Khairuddin Othman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA EXCO SELANGOR

Persiaran Shorea bakal atasi kesesakan trafik Saujana Utama

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kesesakan lalu lintas ditanggung lebih 200,000 penduduk sekitar Saujana Utama akan berakhir apabila Persiaran Shorea di Elmina dibuka 29 September ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata jalan sepanjang lima kilometer itu menjadi laluan alternatif baharu selain melancarkan aliran trafik dua laluan utama sedia ada.

“Selepas perbincangan dan meneliti semua aspek kita setuju Persiaran Shorea dibuka pada 29 September ini jam 12.30 tengah hari. Dalam tempoh ini kita mahu jalan diselenggara untuk keselamatan.

“Sebelum ini penduduk terpaksa menghadap kesesakan, terperangkap hingga sejam ketika waktu puncak. Setiap hari kita terima aduan dan harap penduduk bersabar untuk 20 hari lagi,” katanya selepas membuat lawatan di sepanjang persiaran berkenaan.

Menurutnya, penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pembukaan jalan yang siap September tahun lalu tertangguh atas faktor keselamatan.

“Ada yang ternak lembu di kawasan ini. Jadi proses memindahkan lembu ini tertangguh dan kita hanya buka selepas pastikan tiada lagi lembu berkeliaran demi keselamatan pengguna.

“Rondaan dilakukan siang dan malam selain kerja menyelenggara dibuat termasuk memastikan tiada saluran tersumbat sebelum jalan digunakan.”


Pengarang :