Ir Izham Hashim (tengah) memotong riben sempena simbolik perasmian pembukaan Persiaran Shorea di Seksyen U16, Shah Alam pada 28 September 2020. Bergambar dari kiri adalah Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman, Ir Izham, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad Datuk Azmir Merican dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Persiaran Shorea dibuka tengah malam ini

SHAH ALAM, 28 SEPT: Persiaran Shorea di City of Elmina sepanjang 4.43 kilometer (KM) akan dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula tengah malam ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Datuk Azmir Merican berkata laluan dari Taman Saujana Utama ke pusat bandar Elmina itu memanfaatkan lebih 200,000 penduduk setempat.

“Pengguna jalan raya dari Saujana Utama juga dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan ke akses utama Lebuhraya Koridor Guthrie.

“Di samping membantu penyuraian trafik, jalan ini berupaya menjimatkan masa sebanyak 20 minit bagi penduduk Elmina Green yang mahu ke Elmina Central Park,” katanya pada majlis perasmian di Persiaran Shorea hari ini.

Beliau menjelaskan, persiaran itu juga menghubungkan Elmina Green ke Pusat Bandar Elmina serta membantu penyambungan perjalanan pengguna dari City of Elmina ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) yang dijangka siap akhir tahun ini.

Majlis perasmian disempurnakan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim bersama EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim serta Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa.


Pengarang :